Kemahiran Saintifik

Definisi


Kemahiran saintifik merupakan kemahiran yang penting untuk menjalankan sebarang aktiviti mengikut kaedah saintifik. Kaedah seperti eksperimen, penyelidikan dan projek merupakan aktiviti yang menggunakan kemahiran saintifik. Kemahiran saintifik terdiri daripada kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif.

Kemahiran Proses Sains


Kemahiran proses sains ialah kemahiran yang membolehkan  murid mempersoalkan sesuatu dan mencari jawapan secara bersistem. Kemahiran proses ini terdiri daripada kemahiran yang mudah kepada yang kompleks.


  • Memerhatikan 

    Menggunakan deria penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa atau bau untuk mengumpulkan maklumat tentang objek atau fenomena. 

    • Mengelaskan

      Mengasingkan dan mengumpulkan objek atau fenomena kepada kumpulan masing- masing berdasarkan kriteria tertentu seperti ciri atau sifat. Pengumpulan ini adalah berdasarkan ciri atau sifat sepunya.

      • Mengukur dan menggunakan nombor

        Membuat pemerhatian secara kuantitatif dengan menggunakan nombor dan alat berunit piawai atau alat yang diseragamkan sebagai unit rujukan. Pengukuran menjadikan pemerhatian lebih jitu.

        • Membuat inferens

          Membuat kesimpulan awal yang munasabah yang mungkin benar atau tidak benar untuk menerangkan sesuatu peristiwa atau pemerhatian.

          • Meramalkan

            Membuat jangkaan tentang sesuatu peristiwa berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau data yang boleh dipercayai.

            • Berkomunikasi

              Menerima, memilih, menyusun dan mempersembahkan maklumat atau idea dalam pelbagai bentuk seperti tulisan, lisan, jadual, graf, rajah atau model.

              •  Menggunakan perhubungan ruang dan masa

                Memperihalkan perubahan parameter seperti lokasi, arah, bentuk, saiz, isipadu,berat dan jisim sesuatu objek dengan masa.

                •  Mentafsirkan data

                  Memberi penerangan yang rasional tentang objek, peristiwa atau pola daripada data yang dikumpulkan.

                  •  Mendefinisikan secara operasi

                    Memberi tafsiran tentang sesuatu konsep dengan menyatakan perkara yang dilakukan dan diperhatikan.

                    • Mengawal pembolehubah

                      Mengenal pasti pembolehubah dimanipulasikan, pembolehubah bergerak balas dan pembolehubah yang dimalarkan. Dalam sesuatu penyiasatan satu pembolehubah dimanipulasikan untuk memerhatikan hubungannya dengan pembolehubah yang bergerak balas. Pada masa yang sama pembolehubah yang lain dimalarkan.

                      •  Membuat hipotesis

                        Membuat sesuatu pernyataan umum tentang hubungan antara pembolehubah yang difikirkan benar bagi menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa.Kenyataan ini perlu diuji untuk membuktikan kesahihannya.

                        • Mengeksperimen

                          Merancang dan menjalankan aktiviti untuk menguji sesuatu hipotesis, mengumpulkan data, mentafsirkan data sehingga mendapat rumusan daripada aktiviti itu.

                          Kemahiran Manipulatif


                          Kemahiran manipulatif merupakan kemahiran psikomotor dalam penyiasatan sains yang membolehkan murid melakukan perkara berikut:

                          • Menggunakan dan mengendalikan peralatan dan bahan sains dengan betul.
                          • Menyimpan peralatan dan bahan sains dengan betul dan selamat.
                          • Membersihkan peralatan sains dengan cara yang betul.
                          • Mengendalikan spesimen dengan betul dan selamat.
                          • Melakar spesimen,peralatan dan bahan sains dengan tepat.

                          Kemahiran Berfikir


                          Berfikir adalah satu proses mental yang memerlukan individu menggabungjalinkan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang ada pada dirinya bagi membolehkannya memahami dan mencorakkan alam sekelilingnya. Kemahiran berfikir boleh digolongkan kepada pemikiran kritis dan pemikiran kreatif.

                          Kemahiran Berfikir Kritis

                           
                          • Mencirikan

                          Mengenal pasti kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu konsep atau objek.

                          • Membandingkan dan membezakan

                          Mencari persamaan dan perbezaan berdasarkan kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu objek atau peristiwa.

                          • Mengumpulkan dan mengelaskan

                          Mengasingkan dan mengumpulkan objek atau fenomena kepada kumpulan masing- masing berdasarkan kriteria tertentu seperti ciri atau sifat sepunya.

                          • Membuat urutan

                          Menyusun objek dan maklumat mengikut tertib berdasarkan kualiti ciri atau sifatnya seperti saiz, masa, bentuk atau bilangan.

                          • Menyusun mengikut keutamaan

                          Menyusun objek atau maklumat mengikut tertib berdasarkan kepentingan atau kesegeraan.

                          • Menganalisis

                          Mengolah maklumat dengan menguraikannya kepada bahagian yang lebih kecil bagi memahami sesuatu konsep atau peristiwa serta mencari makna yang tersirat.

                          • Mengesan kecondongan

                          Mengesan pandangan atau pendapat yang berpihak kepada atau menentang sesuatu.

                          • Menilai

                          Membuat pertimbangan tentang sesuatu perkara dari segi kebaikan dan keburukan, berdasarkan bukti atau dalil yang sah.

                          • Membuat kesimpulan

                          Membuat pernyataan tentang hasil sesuatu kajian yang berdasarkan kepada sesuatu hipotesis atau mengukuhkan sesuatu perkara berdasarkan penyiasatan.


                          Kemahiran Berfikir Kreatif


                          • Menjanakan idea

                          Menghasilkan idea yang berkaitan dengan sesuatu perkara.

                          • Menghubungkaitkan

                          Membuat perkaitan dalam sesuatu keadaan atau peristiwa untuk mencari sesuatu struktur atau corak perhubungan.

                          • Membuat inferens

                          Membuat kesimpulan awal yang munasabah, yang mungkin benar atau tidak benar untuk menerangkan sesuatu peristiwa atau pemerhatian.

                          • Meramalkan

                          Membuat jangkaan tentang sesuatu peristiwa berdasarkan pemerhatian dan pengalaman yang lalu atau data yang boleh dipercayai.

                          • Mengitlakkan

                          Membuat pernyataan umum terhadap sesuatu perkara untuk keseluruhan kumpulan berdasarkan pemerhatian ke atas sampel atau beberapa maklumat daripada kumpulan itu.

                          • Membuat gambaran mental

                          Membuat tanggapan atau membayangkan sesuatu idea, konsep, keadaan atau gagasan dalam minda.

                          • Mensintesiskan

                          Menggabungkan unsur yang berasingan untuk menghasilkan satu gambaran menyeluruh dalam bentuk seperti pernyataan, lukisan atau artifak.

                          • Membuat hipotesis

                          Membuat sesuatu pernyataan umum tentang hubungan antara pemboleh ubah yang difikirkan benar bagi menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa. Pernyataan ini boleh diuji untuk menentukan kesahihannya.

                          • Menganalogikan

                          Membentuk kefahaman tentang sesuatu konsep yang kompleks atau mujarad secara mengaitkan konsep itu dengan konsep yang mudah atau maujud yang mempunyai ciri yang serupa.

                          • Mereka cipta

                          Menghasilkan sesuatu yang baru atau melakukan pengubahsuaian kepada sesuatu yang sedia ada untuk mengatasi masalah secara terancang.
                           
                           
                           

                          無料ブログパーツ